Showing posts with label Kejadian lemas. Show all posts
Showing posts with label Kejadian lemas. Show all posts

23 January 2017

Kejadian Nyaris Lemas di Kolam Renang Kelab Golf Danau, UKM

(Seperti yang diceritakan oleh salah seorang jurulatih kami yang berada di tempat kejadian)

Masa tu saya sedang berada di tepi kolam bahagian deep water, tengah guide student berenang. Ada seorang lelaki di tepi saya panggil kawan dia yang berada di seberang kolam, "Berenang kau ke sini, bah!"... Orang Sabah agaknya tu. Nampak macam kawan dia tu dah penat je... Tapi bila tengok sekali lagi sedar-sedar eh dia dah ada di tengah kolam, berenang dengan seorang lagi kawan dia.

Dengar juga dia cakap kat kawan dia yang dia dah penat, tak larat dah... Macam dah termengah-mengah macamtu. Dia pun pegang kawan dia, nak bergantung lah tu... Hah kawan dia cepat-cepat lepaskan diri pergi jauh dari dia. Walaupun kepala masih ada di atas, tapi dah nampak letih sangat dah.

Dah nampak macamtu, kawan dia yang sebelah saya ni pun terjun! Terus pergi kat dia... Saya nampak dia dah peluk, tangan di leher kawan dia tu. Jadi saya ingat ohhhh dah okay lah nak tarik ketepi dah la tu.

Sekali yang dah nak lemas tu boleh pusing pulak benamkan kawan dia! Bukan niat nak benamkan tu sebenarnya, nak berpaut la tu... Tapi iyelah, bila dah penat rasa macam nak lemas, apa-apa pun jadi. Dah dua-dua pula struggling dalam air tu. Apa lagi... Saya pun jeritlah, LIFEGUARD...! LIFEGUARD...! Tapi tak ada bantuan sampai pun. Saya jerit sekali lagi sekuat-kuatnya... LIFEGUARD.....!!!!!! (memang kuat, sebab student saya yang ada di ladies pool pun boleh dengar)

Zapppp.....! Berlari lifeguard dari tempat cetek tu terus ke dalam air, tendang kawan mangsa sampai lerailah dua-dua tu. Dah terlerai dua-dua tu baru boleh lonjakkan mangsa ketepi.

Hah. Alhamdulillah, semua selamat.

Kenapa saya tak terjun sendiri je dalam air tu? Walaupun saya sendiri seorang jurulatih renang, ada kelulusan sijil penyelamat. Sebenarnya terus terjun sendiri ke dalam air, dengan tangan kosong macamtu bahaya untuk kedua-dua penyelamat dan juga mangsa. Kalau dah tak ada pilihan lain, kena terjun juga saya akan pastikan saya bawa tali, kain, atau apa sahaja perantara.

Disekeliling tempat dalam tu tak ada pun pelampung keselamatan. Dan dengan keadaan kaki saya yang sakit ni (beberapa hari lepas terseliuh) saya tak yakin saya boleh cepat sampai ke sana. Masa kejadian tu berlaku, tak ramai pun orang perasan sampailah saya jerit. Mungkin tak dapat nak kenalpasti yang dia hampir lemas sebab kepala dia masih diatas. Dan lagi pula tak dengar pula dia jerit minta tolong... Memang itu keadaannya bila orang dah nak lemas. Tak berdaya dah nak jerit minta tolong... Semua tenaga akan digunakan nak kekal terapung je, mana ada tenaga lagi nak menjerit.

Ini pengajaran ni. Kepada mana-mana jurulatih yang mengajar di kolam renang awam, sentiasalah berjaga-jaga. Terima kasih diucapkan kepada penyelamat kelemasan serta orang-orang awam yang terlibat dalam kejadian petang 21/1/2017 di Kolam Renang Kelab Golf Danau, UKM.

6 November 2014

Kejadian hampir dilemaskan pelajar sendiri

Selain belajar teknik menyelamatkan mangsa lemas ketika kursus Sijil Pingat Gangsa, kami juga didedahkan dengan teknik menyelamatkan diri sendiri. Ya, sebelum nak selamatkan orang, kita mesti pastikan diri sendiri selamat dulu!

Saya masih ingat satu kejadian yang mencemaskan dimana saya rasa macam hampir nak dilemaskan oleh pelajar sendiri. Memang sangat mencemaskan dan saya akui ia meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya. Sehingga kini saya sangat berhati-hati.

Kejadian ini berlaku ketika saya menjadi jurulatih renang untuk salah satu program dimana pesertanya sangat ramai. Seorang jurulatih renang akan diberikan sekurang-kurangnya 7 pelajar dan ada lebih kurang 5 jurulatih renang. Kebiasaannya pada setiap kali habis kelas, semua pelajar akan diarahkan untuk berenang melintasi bahagian dalam kolam renang. Tak jauh pun, hanya sejauh 20 meter tapi memang dalam. Kaki saya sendiri pun tak boleh mencecah lantai.

Saya dan seorang lagi jurulatih berjaga-jaga di dalam kolam renang sementara ketua jurulatih dan jurulatih lain memberi arahan kepada pelajar dari atas. Sebenarnya kami tak ditugaskan untuk berjaga dibawah pun tapi disebabkan pelajar kami masih kecil, tambahan pula ada yang masih takut-takut jadi kami pun tunggu di dalam air untuk 'guide' sambil mengurangkan rasa takut mereka tu. Sebagai langkah berjaga-jaga, saya bergantung di 'water noodle'. Supaya kalau ada yang tiba-tiba nak berhenti, saya boleh berikan 'water noodle' tu. Selain itu, gunanya 'water noodle' tu untuk saya kekal terapung jadi tak adalah sepanjang masa kena buat 'water treading'. Hahah!

Seorang demi seorang pelajar diarahkan berenang melintasi tempat dalam tu. Macam-macam gaya.... Kalau tak sampai ke seberang tak boleh balik. Ha, jadi boleh bayangkan lah gerakan kaki tangan entah macam mana asalkan sampai ke hujung. Sebab masa tu masih baru lagi, ramai yang belum menguasai teknik renang sepenuhnya.

Okay. Jadi ada dua 'checkpoint' iaitu saya dan lagi seorang jurulatih. Pelajar tu dah pun melepasi saya dan dah 'on the way' ke jurulatih kedua. Bila dia dah melepasi saya, saya pun bersedia lah untuk pelajar seterusnya. Pelajar yang seterusnya ni memang sangat takut jadi saya terpaksa berikan 'water noodle' tu kepadanya sambil saya buat 'water treading' kebelakang (kepala mengadap dia). Saya tak sangka pula pelajar yang sebelumnya tu boleh patah balik dan peluk saya dari belakang! Jurulatih renang yang lagi satu tu sedang memerhati pelajar lain yang baru sampai ke tebing seberang sana.

Memang terkejut! Tiba-tiba dipegang dari belakang dengan kakinya cuba nak memanjat saya, tangannya pula memegang bahu saya. Masa tu buat 'water treading' tendang kuat mana pun masih rasa berat dan tak dapat juga nak timbul keatas! Sebab dia tekan dan panjat saya! Menggelupur la, tenggelam timbul tenggelam timbul tak cukup nafas dan kaki pun penat cuba tendang keatas sebab berat. Apa yang saya buat? Saya masuk je dalam air, dengan budak tu pun masuk sekali dalam tu, biarkan badan tenggelam, dan TENDANG. Ya, jujur saya katakan saya sepak dia. Dan ada juga tertumbuk sedikit untuk melepaskan diri dari pegangannya. Bila saya dah bebas daripadanya sekejap, saya terus tolak dia sekuat hati keatas dan ketepi kolam. Tangannya gapai-gapai dan dapat juga capai tebing kolam.

Alhamdulillah. Dua-dua selamat. 

Dalam kursus Sijil Pingat Gangsa tu, banyak teknik yang kami pelajari. Antaranya ialah pusingkan badan, tekan tangan mangsa hingga dia sakit dan melepaskan kita, picit sedikit hidung mangsa, dan macam-macam lagi. Tapi bila dalam keadaan panik, memang susah nak ikut setiap langkah yang dipelajari... Saya cuma ingat kita perlu pastikan diri kita selamat dulu, barulah boleh selamatkan orang lain. Jadinya, saya lepaskan diri saya dahulu kemudian barulah saya tolak dia ketepi.

Banyak kali saya pesan pada pelajar dan kawan-kawan, sentiasalah ada barang penghalang antara kita dengan mangsa yang hampir lemas tu. Sebab tengoklah macam pelajar saya tu. Bukan dia kira yang ditekan tu jurulatihnya sendiri. Apa yang penting dia timbul keatas... Dan saya pun silap sebab tak ada barang perantara jadi dia pun tarik je apa yang ada pada saya dan akibatnya saya pun turut sama ikut tenggelam...

Jadi, sentiasa ingat. Walau apa keadaan sekalipun, pastikan anda selamat barulah selamatkan orang. 


28 October 2014

Silent drowning: Kejadian menyelamatkan kanak-kanak yang hampir lemas

Tidak semestinya anda boleh menjadi penyelamat (lifeguard) ketika duduk di kerusi tinggi ataupun ketika wisel tergantung di leher sahaja... Ataupun mesti pakai baju tertulis 'LIFEGUARD'. Semua orang mesti ada rasa bertanggungjawab. Ini kerana setiap orang di dalam kolam renang ada potensi untuk lemas.

Saya sangat risau kalau terlihat budak kecil di kolam renang tanpa pengawasan sesiapa. PENGAWASAN disini bermaksud mata mengawasi setiap perilaku kanak-kanak tersebut, bukan badan mengadap ke kanak-kanak tersebut tetapi MATA MENGADAP SKRIN TELEFON BIMBIT. Tulisan huruf besar kerana saya nak anda fokus pada ayat tu. Ramai. Memang ramai saya perasan macam tu.

Jom saya kongsikan pengalaman saya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki dalam umur 4 tahun di kolam renang kanak-kanak, di belakang ayahnya dan pada masa yang sama adik perempuannya JUGA nyaris lemas hanya beberapa langkah daripada mereka.

Okay. Kejadian ini berlaku ketika saya sedang mengajar renang di sebuah kolam renang kanak-kanak. Saya memang suka mengajar di kolam renang kanak-kanak sebab pelajar cilik saya boleh berlatih dengan selamat disamping mengurangkan rasa takut mereka. Selain itu, saya tak perlulah nak dukung atau julang mereka ke tebing bila di tempat cetek ni.

Jadi, masa tu saya sedang menunggu pelajar saya membuat 'push-and-glide' dari tebing kolam. Saya menunggu di tengah kolam. Sambil menunggu, saya terperasan ada seorang kanak-kanak lelaki beberapa langkah ditepi saya. Seolah-olah sedang melompat, tangannya menggapai keatas. Posisi badannya menegak, tengah berdiri. Saya perhatikan lagi, kedua-dua tangannya melambai di dalam air. Tangan kiri, tangan kanan... Tangan kiri, tangan kanan... Saya nampak mulutnya terbuka seolah-olah nak bercakap; buka tutup, buka tutup... Nasib baik air kolam cukup jernih untuk saya lihat kakinya tak cecah lantai. Masa tu barulah saya perasan Ya Allah! Budak ni nak lemas! Cepat-cepat saya julang budak tu keatas dan barulah ayah dia pusing kebelakang (ayahnya membelakangkan kanak-kanak lelaki itu) dan ambil anaknya dari saya. Dan mungkin dia baru teringat ada lagi seorang anak. Tup tup tak jauh dari tu anak perempuannya pula! Saya nampak dia bergegas kesitu dan menjulang anaknya bawa ketepi kolam. Kedua-duanya selamat.

Apa yang dapat saya simpulkan? SENYAP dan PANTAS. Tak ada percikan air, tak ada laungan meminta tolong. Tiada sesiapa pun perasan mereka nyaris lemas, baik kanak-kanak lelaki mahupun yang perempuan tu. Kecuaian. Kolam renang kanak-kanak tersebut ada dua paras. Paras yang lebih dalam dipisahkan dengan tangga, tapi tiada pagar penghalang. Ditambahkan pula dengan sikap ingin tahu kanak-kanak yang sangat kuat... Anda mesti sentiasa pantau dimana anak-anak anda berada di dalam kolam. Jangan harapkan mereka menjerit meminta tolong, ataupun percikan air yang banyak untuk menyedarkan anda.

22 October 2014

Fokus ketika bertugas: Pengajaran ketika menjadi penyelamat kelemasan

Seperti yang telah diceritakan dalam entri sebelum ni, saya pernah menjadi penyelamat (lifeguard) di beberapa buah kolam renang. Pastinya ada banyak pengalaman sepanjang bertugas... Tapi kali ini saya nak ceritakan pengalaman saya menyelamatkan seorang wanita yang hampir lemas.

Saya harap kisah ini boleh menjadi tauladan kepada anda semua... Kejadian ini berlaku ketika saya sedang bertugas di sebuah kolam renang bersaiz Olimpik yang tertutup.

Ketua penyelamat dah pesan banyak kali setiap kali masa bertugas jangan main sms, jangan bercakap dalam telefon, jangan main telefon... Jangan membaca, jangan sibuk makan je.

Dulu selalu study sambil jaga kolam... Tapi ini bukan tabiat yang elok. Jangan ikut!

Mata mesti sentiasa fokus pada pengunjung. Tapi, saya ni sebab dah selalu jadi 'lifeguard' dan tak pernah pula berdepan dengan sebarang situasi cemas, ambil sambil lewa sahaja hal tu. Tambahan pula bertugas bersama lagi 2 orang. Rakan sekerja 2 orang di seberang sana dan saya seorang menjaga di sebelah sini sambil duduk di kerusi tinggi. Pelampung penyelamat yang bulat tu saya gantungkan ditepi kerusi.

Saya jaga di bahagian pertengahan antara yang cetek dan dalam. Sambil membalas sms kawan saya. Petang tu tak ramai pun yang berenang ke tempat dalam kecuali seorang wanita yang ulang-alik depan saya. Banyak juga la dari satu hujung ke satu hujung dia teruskan je walaupun saya tengok gerakan kaki dan tangannya tak betul. 

Tengok handphone, tengok kolam. Sampaila satu sms saya hantar pada kawan saya berbunyi begini (ya saya masih ingat lagi...),
"Boleh je main sms sebab ada lagi 2 lifeguard lain.."

Dan sebaik saya hantar je sms tu, angkat kepala tengok kedepan nampak tangan perempuan tu menggapai nak ke atas. Betul-betul depan mata saya!

Berdebarnya tuhan saja yang tahu. Memang menggelabah saya turun dari kerusi tinggi tu dan yang kelakarnya sempat pula campak handphone ketepi kolam sebelum saya terjun bersama pelampung bulat tu. Cuma nampak tangannya jadi saya risau dia tak dapat nak sambut pelampung tu, sebab tu saya terjun. Tapi saya pastikan dia pegang pelampung tu, bukan pegang saya.

Alhamdulillah... Dia tak sempat tersedak air pun. Kakinya tiba-tiba menjadi kejang dan dia panik. Saya sangat bersyukur sebab digerakkan hati untuk tengok kedepan. Ada juga rasa bersalah sebab main sms masa bertugas... Nasib baik berlaku depan mata saya. Kalau di hujung tempat dalam, mesti ambil masa nak kesana.

Tapi... Tahu tak yang lagi 2 penyelamat di seberang kolam tu tak sedar pun apa yang berlaku? Mereka cuma tahu bila dah tamat sesi apabila melihat baju saya basah. Mereka tanya kenapa baju saya basah lencun dan memang tak sedar dan tak dengar pun apa yang berlaku. Memang... Sebab semuanya berlaku terlalu pantas dan senyap! Wanita itu tak ada pun menjerit-jerit minta tolong, percikan air pun tak banyak... Yang nampak cuma tangannya menggapai keatas.

Saya harap cerita ini boleh jadi tauladan pada anda semua. Banyak kali saya perasan di kolam renang, ibu bapa leka main handphone sambil anak dibiarkan bermain-main di dalam kolam. Ya memang ada lifeguard, tapi lifeguard bukan babysitter yang pantau anak anda seorang sahaja.

Nanti saya kongsikan lagi satu pengalaman saya menyelamatkan budak di kolam renang kanak-kanak dalam Siri 2. Ayahnya ada je di dalam kolam tapi tak perasan anaknya dah hampir lemas...

What makes learning to swim so hard?

So I was just hanging out at the seating area by the poolside, watching people swimming (or just simply chilling in the pool) and swimming ...