Monday, 23 January 2017

Pelajar Wanita Pertama di IRenang Aquatic Centre

Alhamdulillah... Hari Rabu minggu lepas akhirnya selesai pun kelas saya dengan Kak Ja, pelajar wanita pertama yang saya ajar di IRenang Aquatic Centre. Sebelum ni memang saya mengajar kelas renang wanita, tapi di kolam renang awam.

Walaupun kolam kecil, sebenarnya tiada masalah bagi orang dewasa nak belajar berenang. Cuma kadang-kadang persepsi orang, muat ke nak belajar berenang? Macam kecik je...

Muat... Sedangkan kami pun selalu berenang dan workout dalam tu. Seorang berenang guna swimming belt, seorang lagi buat exercise dengan aqua fin, noodle, dan water dumbbells. Kena fikir kreatif je.

Kak Ja ni tinggi orangnya, kolam tu lebih sikit je dari paras pinggang dia. Tapi, dia punya takut nak bangun (berdiri) dari terapung tu macamlah air kolam tu separas hidung dia! Memang itulah yang selalu buat orang rasa panic. Dah seronok terapung, nak berdiri balik tu kelam kabut... Makan masa juga lah nak bagi dia bangun dari keadaan terapung tu dengan tenang dan teratur. Kelas pertama dengannya banyak untuk bagi dia rasa tenang dalam air je.

Bila dah boleh terapung (serta bangun dengan tenang) dan belajar pernafasan yang betul, saya pun mula ajar dia gerakan kaki dan tangan. Dua kali kick je dah sampai hujung kolam... Kalau macam saya ni, gliding lebih sikit, satu kali kick je dah sampai. Hahaha! Jadi saya gunakan swimming belt untuk dia berlatih gerakan kaki. Swimming belt ni sejenis peralatan yang mana ada tali pinggang yang diikat tali. Tali tu akan diikat pada satu hujung. Jadi kita akan berenang setempat je.

Ada juga gunakan foam noodle dalam membantu dia untuk naik atas ambil nafas. Iya betul... Walaupun kolam cetek, tapi kalau tak pandai berenang, tetap akan rasa takut... Bila ada foam noodle tu, Kak Ja rasa secure sikit dan boleh buat gerakan tangan untuk mengambil nafas. Berminat betul dia dengan foam noodle tu, siap nak order pulak. Hahah. Foam noodle ni boleh cari fi Toys R Us. Di Decathlon Damansara pun ada rasanya.

Alhamdulillah, pada kelas keempat dia dah pandai berenang dah. Berenang setempat. Pada kelas kelima cuma untuk membetulkan sikit-sikit je. Dan kelas terakhir, kami ke kolam renang awam iaitu Kolam Renang Kelab Golf Danau, UKM. Kami ke kolam renang wanita.

Di situ saya ajarkannya cara turun naik kolam yang betul tanpa menggunakan tangga. Maklumlah, kolam renang di centre above ground, jadi turun naik kolam menggunakan tangga. Kena belajar cara turun naik kolam tanpa menggunakan tangga, yelah kadang-kadang di kolam awam ni ramai betul suka bersidai di tepi tangga... Especially yang tak yakin nak ke tengah tu... Heheheh.

Dalam kelas terakhir tu, saya tunjukkan dia cara-cara yang selamat nak berlatih kalau sendirian di kolam. Contohnya kalau nak berlatih kicking tu, tuju ke dinding, jangan tuju ke tengah kolam. Nak berlatih berenang kalau takut, boleh dari sudut ke sudut. Dan banyak lagi. Akhir sekali, dia cuba berenang dari satu hujung ke satu hujung. Alhamdulillah, berjaya!

Diharapkan Kak Ja akan sentiasa ke kolam untuk berenang selepas ni. Berenang sekali dengan anak-anak ya.


Sunday, 22 January 2017

Kejadian Nyaris Lemas di Kolam Renang Kelab Golf Danau, UKM

(Seperti yang diceritakan oleh salah seorang jurulatih kami yang berada di tempat kejadian)

Masa tu saya sedang berada di tepi kolam bahagian deep water, tengah guide student berenang. Ada seorang lelaki di tepi saya panggil kawan dia yang berada di seberang kolam, "Berenang kau ke sini, bah!"... Orang Sabah agaknya tu. Nampak macam kawan dia tu dah penat je... Tapi bila tengok sekali lagi sedar-sedar eh dia dah ada di tengah kolam, berenang dengan seorang lagi kawan dia.

Dengar juga dia cakap kat kawan dia yang dia dah penat, tak larat dah... Macam dah termengah-mengah macamtu. Dia pun pegang kawan dia, nak bergantung lah tu... Hah kawan dia cepat-cepat lepaskan diri pergi jauh dari dia. Walaupun kepala masih ada di atas, tapi dah nampak letih sangat dah.

Dah nampak macamtu, kawan dia yang sebelah saya ni pun terjun! Terus pergi kat dia... Saya nampak dia dah peluk, tangan di leher kawan dia tu. Jadi saya ingat ohhhh dah okay lah nak tarik ketepi dah la tu.

Sekali yang dah nak lemas tu boleh pusing pulak benamkan kawan dia! Bukan niat nak benamkan tu sebenarnya, nak berpaut la tu... Tapi iyelah, bila dah penat rasa macam nak lemas, apa-apa pun jadi. Dah dua-dua pula struggling dalam air tu. Apa lagi... Saya pun jeritlah, LIFEGUARD...! LIFEGUARD...! Tapi tak ada bantuan sampai pun. Saya jerit sekali lagi sekuat-kuatnya... LIFEGUARD.....!!!!!! (memang kuat, sebab student saya yang ada di ladies pool pun boleh dengar)

Zapppp.....! Berlari lifeguard dari tempat cetek tu terus ke dalam air, tendang kawan mangsa sampai lerailah dua-dua tu. Dah terlerai dua-dua tu baru boleh lonjakkan mangsa ketepi.

Hah. Alhamdulillah, semua selamat.

Kenapa saya tak terjun sendiri je dalam air tu? Walaupun saya sendiri seorang jurulatih renang, ada kelulusan sijil penyelamat. Sebenarnya terus terjun sendiri ke dalam air, dengan tangan kosong macamtu bahaya untuk kedua-dua penyelamat dan juga mangsa. Kalau dah tak ada pilihan lain, kena terjun juga saya akan pastikan saya bawa tali, kain, atau apa sahaja perantara.

Disekeliling tempat dalam tu tak ada pun pelampung keselamatan. Dan dengan keadaan kaki saya yang sakit ni (beberapa hari lepas terseliuh) saya tak yakin saya boleh cepat sampai ke sana. Masa kejadian tu berlaku, tak ramai pun orang perasan sampailah saya jerit. Mungkin tak dapat nak kenalpasti yang dia hampir lemas sebab kepala dia masih diatas. Dan lagi pula tak dengar pula dia jerit minta tolong... Memang itu keadaannya bila orang dah nak lemas. Tak berdaya dah nak jerit minta tolong... Semua tenaga akan digunakan nak kekal terapung je, mana ada tenaga lagi nak menjerit.

Ini pengajaran ni. Kepada mana-mana jurulatih yang mengajar di kolam renang awam, sentiasalah berjaga-jaga. Terima kasih diucapkan kepada penyelamat kelemasan serta orang-orang awam yang terlibat dalam kejadian petang 21/1/2017 di Kolam Renang Kelab Golf Danau, UKM.

Tuesday, 8 November 2016

Panduan Memilih Pakaian Renang (Wanita)

Sekarang bukan macam dulu lagi. Kalau dulu, nak mencari pakaian renang yang muslimah memang susah.

Masih saya ingat dulu, kalau untuk perempuan ada pun yang menutup sikit yang one piece baju dan seluar, full swimming suit.... Dulu pun saya pakai yang itu juga. Waktu kecil, zaman sekolah rendah pakai yang tu, waktu ambil Sijil Pingat Gangsa umur 20 tahun pun pakai yang itu. Memang menutup semua, tapi disebabkan dia macam overall, agak malu sikit di bahagian pinggang ke bawah tu. Cuma kelebihan baju seperti ini ialah ia dapat mengurangkan rintangan air/ water resistance/ drag ketika berenang. Selain itu, tak perlu juga bersusah-susah bawa banyak helaian pakaian. Mana nak bawa baju lagi, seluar lagi.

Okay, sekarang ni memang banyak sangat pilihan pakaian renang muslimah. Selalunya bila kata muslimah tu, fesyennya begini; baju labuh, seluar panjang, dan swimming hood (menutup leher). Tapi itupun, ada banyak jenis. Macam-macam rekaan. Disini saya berikan beberapa panduan memilih, berserta kebaikan dan keburukan setiap satunya.

PERTAMA, potongan baju renang. Ya muslimah memang bajunya labuh. Cuba cari jenis yang tidak terlalu kembang di bahagian punggung. Saya faham sesetengah perempuan memang mencari yang kembang di bahagian punggung untuk tidak menampakkan susuk tubuh. Tapi, bila terlalu kembang ianya tidak praktikal bila kita berenang. Kalau untuk bersantai-santai bolehlah kembang sana sini, tapi untuk berenang memang tak praktikal...


Walaupun ada tali yang diikat ke seluar, tapi ia mudah tanggal dan baju akan tersingkap. Bahaya! Pernah sekali saya sedang mengajar deep water skills di kolam renang dalam. Bila buat kangaroo hop, terus ternaik bajunya sampai menutup muka! Kan bahaya tu... Ah kalau tak itu pun, bila berenang selalu baju tu tersingkap ke depan menampakkan badan. Pernah jadi kan? Apa yang menutupnya? PENYELESAIAN untuk kes ni kalau nak juga baju yang kembang di punggung, bila berenang tu, tuck in baju ke dalam seluar. Sebelum keluar dari kolam, keluarkan semula baju.

KEDUA, rekaan baju renang. Macam-macam rekaan baju renang muslimah sekarang! Ada rekaan baju renang muslimah one piece iaitu skirt attached dengan overall, ada yang baju labuh dan seluar, ada lagi satu yang baju labuh (luar) dan sleeveless overall di dalam. Saya terangkan satu-satu. Masing-masing ada kelebihan.

Full swimming suit with skirt attached

Ini jenis yang macam overall tapi skirt dah dijahit sekali dengan seluar. Lebih kurang macam dalam gambar di atas cumanya yang ini separate top and pants. Ada yang berlengan panjang dan seluar panjang. Jenis ini senang. Senang dalam erti kata senang pakai dan senang nak dibuka kalau nak ke tandas. Hahah... Selalunya samada zip di belakang ataupun di hadapan. Cumanya bila memilih baju jenis macamni, cuba pakai dulu ya. Takut-takut kalau dah beli, bila sarung, tengok-tengok skirtnya samada melayut ke bawah ataupun ternaik ke atas. Kiranya tak ngam dengan bentuk badan. Jarang dah nak jumpa baju jenis macamni sekarang. Budak-budak mungkin ada lagi.

Baju renang muslimah 1

Seperti dalam gambar ini saya belum pernah jumpa lagi disini. Diasingkan swimming hood dan sehelai lagi kain menutup dada. Bagus invention ni! Kebanyakan disini digabungkan kedua-duanya dan jadi seperti mini telekung. Satu yang kurang berkenan sikit yang digabungkan dua-dua tu bila kita nak berenang dan kena masukkan ke dalam baju. Tak selesa kain banyak sangat dalam baju... Jenis inilah yang saya sebutkan tadi, yang akan tersingkap bila berenang. Jadi tuck in je bila nak berenang. Ataupun ada satu lagi cara. Pakai one piece swimming suit di dalam. 



Boleh pilih samada nak pakai yang ada seluar panjang sikit macam gambar di atas ni, ataupun yang jenis lagi satu tu. Sebenarnya selain daripada untuk mengelakkan daripada terlihat kulit apabila tersingkap, ini juga elok kerana tidak adalah ketara sangat garisan pakaian dalam. Sesetengah baju renang ni kainnya nipis sangat... Nampak semua garis-garis yang tak diingini!

Baju renang muslimah 2
Okay, ini lagi satu jenis rekaan baju renang muslimah yang agak popular sekarang. Baju renang labuh di luar dan sleeveless overall di dalam. Kalau dah pakai yang ni, tak perlulah beli one piece dah. Selamatlah juga nak berenang, kalau tersingkap pun dah fully covered di dalam. Cuma satu je; leceh kalau nak buang air. Kena buka semua. Pernah sekali ketika saya sedang mengajar, pelajar minta untuk ke tandas. Alahai lamanya... Iyelah. Dahla baju basah-basah, nak buka satu-satu lagi. Buka okay lah juga kut, nak sarung balik tu leceh.

Baju renang lelaki

Selalunya baju renang lelaki ni lurus je, tak ada potongan mengikut pinggang. Kadang ada je baju renang muslimah, tapi ketat mengikut bentuk tubuh badan juga. Ketika saya mengandung dulu, saya memakai baju renang suami saya. Memang selesa. Saya telah membeli sehelai baju renang muslimah (top sahaja), tapi potongannya yang ada pinggang menampakkan bentuk badan. Tambahan pula dengan potongannya yang labuh ke bawah punggung. Serba tak kena gayanya... Hahahah. Akhirnya saya membeli baju renang lelaki dan memakai one piece di dalam.

Okay cukuplah tiga pilihan tu ya.

Rekaan baju renang kegemaran saya ialah yang dihujung lengannya ada lubang untuk masukkan jari. Jadi tak adalah lengan baju tersingkap bila tengah mengajar. Disebabkan keutamaan saya ialah mengajar, jadi saya sangat particular bab ini. Kadang-kadang mengajar di tempat awam, jadi saya memang suka bila dapat tutup keseluruhan lengan. Oh lagi satu sebab nak kurangkan kesan sunburn... Hahaha.


Diharapkan sedikit panduan ni boleh membantu para wanita diluar sana memilih pakaian renang yang sesuai. Cuma perlu diingat, tak kiralah betapa longgar atau besar sekalipun baju renang anda, bila keluar daripada air, ia tetap akan melekat di tubuh badan. 

Apa yang paling penting ialah keselamatan di dalam air. Longgar sangat dan besar gedobos pun bahaya, boleh tersangkut-sangkut. Sekarang dah ada kolam renang yang ada sesi khas wanita. Tepuk dada, tanya selera. Pilihan di tangan anda.

Monday, 7 November 2016

Pengambilan Kedua IRenang Aquatic Centre

Alhamdulillah... Memasuki bulan November, minggu lepas ramai pelajar baru memulakan kelas di IRenang Aquatic Centre. Pelajar-pelajar pengambilan pertama ramai yang dah berjaya tamatkan program, tinggal nak ambil sijil je. Sebuah majlis khas penyampaian sijil akan diadakan nanti.

Sejak dah ada papan tanda, nampaknya ibu bapa lebih senang nak cari lokasi kami. Sekarang tak ada lagi yang terjenguk-jenguk dulu sebelum masuk. Heheh...

Sempat juga saya berbual dengan beberapa ibu bapa pelajar baru semalam. Rata-rata menyatakan idea ini bagus; kelas renang personal kanak-kanak dengan waktu yang fleksibel. Maklumlah, kalau di kolam renang awam, tambahan pula sekiranya kelas dijalankan ketika waktu sesi kolam dibuka pada orang awam, memang sesak dan susah pelajar nak fokus. Kami faham... Pengalaman mengajar bertahun-tahun di public pool membuahkan idea ni.

Ada pelajar semalam yang datang dari Cheras, tapi ramai juga yang dari sekitar Bandar Baru Bangi je. Alhamdulillah, kami dapat memudahkan ibu bapa. Ada yang menunggu anak-anak, ada juga yang drop off, dan ada juga yang tunggu dalam kereta di luar. Nanti sedikit demi sedikit kami upgrade ruangan menunggu tu ya. Di ruangan menunggu disediakan bahan bacaan seperti majalah dan surat khabar. Sebenarnya dari lobi tu juga boleh lihat anak-anak belajar.

Gambar ketika kelas dijalankan minggu lepas.


Thursday, 27 October 2016

Papan Tanda Sudah Siap!

Alhamdulillah... Akhirnya dah siap pun papan tanda bagi IRenang Aquatic Centre! Sejak beroperasi pada awal bulan Julai tahun ini, kami banyak menerima kunjungan dari para ibu bapa yang berminat hendak menghantar anak mereka ke kelas renang kami. 

Idea ini memang baru, IRenang Aquatic Centre merupakan yang PERTAMA di Bandar Baru Bangi! Disebabkan tidak pernah ada konsep sebegini sebelum ini, ramai yang tak sangka rupanya kami terletak di kawasan perumahan. 

Jadi, diharap dengan adanya papan tanda ini, akan lebih mudah bagi para ibu bapa mencari lokasi sebenar kami. Disertakan sekali waktu operasi kami, iaitu hanya tiga hari seminggu yang dibuka untuk lawatan.


Friday, 24 June 2016

Kelebihan Bersenam di Dalam Air

Bersenam di dalam air tidak hanya terhad kepada berenang. Senaman di dalam air sesuai untuk semua golongan; kanak-kanak, remaja, dan juga dewasa. Walaupun tidak pandai berenang, anda masih boleh melakukan aktiviti lain di dalam air seperti berjalan, berlari, dan juga melompat. Senaman di dalam air boleh dilakukan di dalam air paras pinggang dan juga di tempat dalam yang tidak boleh cecah kaki.

Senaman di dalam air sebenarnya merupakan senaman yang lebih selamat jika dibandingkan dengan melakukan senaman di darat. Lebih-lebih lagi kepada warga tua ataupun mereka yang ada masalah dengan keseimbangan badan yang menyebabkan mereka cenderung untuk jatuh apabila melakukan aktiviti. Apabila melakukan aktiviti di darat, potensi untuk jatuh lebih tinggi. Kesannya juga lebih teruk; boleh menyebabkan luka, lutut terhentak, badan terhempas, dan sebagainya. Medium air yang kepadatannya lebih tinggi daripada udara boleh menyokong tubuh badan daripada jatuh.

Kepadatan air yang lebih tinggi daripada udara juga merupakan kelebihan bersenam di dalam air. Tanpa kita sedari, sebenarnya kita bekerja lebih keras di dalam air! Lebih banyak tenaga diperlukan untuk berjalan di dalam air berbanding di atas darat, cuma disebabkan kita berada di dalam air, kita tak perasan badan kita berpeluh. 



Salah seorang pesakit yang mengalami sakit belakang dan juga obese melakukan senaman berjalan melawan arus. Berjalan melawan arus merupakan antara senaman lanjutan daripada berjalan di dalam air. Kami menambahkan tahap kesukaran senaman setelah menilai tahap pesakit dari semasa ke semasa.


Tahap kesukaran senaman juga boleh ditingkatkan tanpa berkompromi dengan aspek keselamatan. Adalah penting untuk kita meningkatkan tahap kesukaran senaman kita setelah badan sudah terbiasa dengan rutin yang dilakukan. Tahap kesukaran senaman boleh ditingkatkan dan dipelbagaikan melalui tahap kedalam air, kelajuan pergerakan di dalam air, dan juga dengan menambahkan rintangan.

Bagi yang mempunyai kecederaan lutut, sakit belakang, masalah kegemukan berlebihan, bersenam di atas darat pasti menyakitkan, kan? Sedangkan berjalan pun sudah sakit, inikan pula nak bersenam. Di dalam air, senaman boleh dilakukan dengan lebih selesa dan kurang menyakitkan kerana terdapat daya apungan air. Daya apungan air adalah daya yang melawan daya graviti. Dalam bahasa mudahnya, daya tarikan graviti menarik kita ke bawah, manakala daya apungan air menolak badan kita ke atas. Kita akan rasa lebih ringan. Jadi, bila berada di dalam air, kita akan rasa kurang sakit kerana tekanan antara sendi berkurangan disebabkan daya apungan tersebut.

Perasaan selesa berada di dalam air pasti membuatkan kita lebih seronok bersenam di dalam air. Gerakan-gerakan yang susah dilakukan di atas darat seperti berlari dan melompat lebih mudah dilakukan di dalam air. Ini membolehkan anda bersenam dengan lebih kerap tanpa rasa sakit, lantas mendapat hasil yang optimum.

Oleh itu, lain kali kalau pergi ke kolam renang, jangan duduk di tepi sahaja kalau pun tak pandai berenang. Masuk dalam air dan bersenamlah!   


Sunday, 19 June 2016

Kenapa Mesti Kelas Personal IRenang?

Kelas ini biasanya diambil oleh mereka yang sibuk dan tidak dapat memberikan tumpuan yang tetap pada jadual program tetapi masih ingin belajar berenang. Ini kerana jadual program yang lebih fleksibel seperti hari dan  masa, juga lokasi boleh dirunding bersama jurulatih.

Selain daripada jadual yang fleksibel, pelajar mendapat perhatian penuh dari jurulatih. Jurulatih akan memberikan tumpuan kepada pelajar bukan sahaja kepada teknik renangan tetapi juga meliputi perihal penjagaan kesihatan seperti rawatan pemulihan dari kecederaan. Ramai pesakit tulang belakang dan asma yang datang belajar berenang atas nasihat doktor perubatan.

Kelas Renang Personal yang kami adakan bukanlah sekadar mengajar 1 atau 2 teknik renang tetapi meliputi setiap aspek situasi di dalam air. Pelajar diberikan pendedahan dari asas renang hinggalah kepada teknik menyelamatkan diri di air. Ini penting kerana walaupun sudah boleh berenang tetapi belum tentu boleh menyelamatkan diri sendiri jika berlaku kecemasan.

Kelas juga dijalankan di tempat dalam untuk mempelajari teknik-teknik keselamatan di dalam air.


Kelas Renang Personal sesuai bagi mereka yang sibuk dan perlukan jadual belajar yang fleksibel.


Cukupkah 6 sesi? Dari pengalaman kami, lebih dari cukup. Ini kerana aspek tumpuan dan modul yang diberikan oleh jurulatih yang memang berpengalaman luas. Seperti yang kita sendiri ketahui, keupayaan setiap individu berbeza. Ada yang WATER PHOBIC, KECEDERAAN, PENYAKIT, dan lain-lain masalah PERGERAKAN.

"TAK PERCAYA BOLEH BERENANG DI TEMPAT DALAM SELEPAS HABIS 4 JAM SETENGAH SESI BELAJAR" 
Feedback pelajar setelah tamat 6 sesi kelas.

Feedback pelajar setelah tamat 6 sesi kelas.

Feedback setelah baru satu sesi kelas. Pelajar diajar teknik pernafasan yang betul.

Feedback pelajar yang moderate obese dan juga pernah nyaris lemas. 


Golongan dewasa wanita adalah antara paling ramai mendaftar di kelas renang personal. Kebanyakannya  mempunyai masalah kecederaan lutut dan tidak berupaya lagi melakukan aktiviti kecergasan seperti senaman aerobic. Akibatnya mereka akan mengalami masalah berat badan berlebihan. Berat yang berlebihan pula akan menimbulkan pelbagai penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi, dan jantung.

Teknik mengajar kelas personal untuk setiap pelajar tidak sama, apatah lagi mengajar golongan dewasa yang lazimnya memang water phobic. Bukan setakat itu sahaja, tahap keyakinan mereka pada diri sendiri juga sangat rendah. Seringkali ucapan seperti "Ish.. Susahlah, tak bolehlah.. Kaki ni keraslah.. Nafas pendek" dan lain-lain diluahkan pelajar. Di sinilah kemahiran jurulatih di perlukan. Pengalaman luas jurulatih amat penting untuk menangani masalah yang timbul, tidak cukup sekadar sijil mengajar sahaja.



Pelajar yang mengalami masalah kesihatan seperti sakit tulang belakang dan lutut, pergerakannya perlu di ubah suai mengikut tahap keupayaan masing-masing. Tidak digalakkan melakukan  teknik Breaststroke. Pergerakan "pulling action" atau teknik menaikkan badan untuk bernafas akan memberikan tekanan pada tulang belakang di bahagian bawah. Sepakan kaki breastroke perlu di ubah suai untuk golongan ini. Ini kerana sepakan yang salah akan mengakibatkan kesakitan pada kepala lutut. Bukan itu sahaja, kebanyakan kaum wanita kurang fleksibel dari bahagian pinggang ke bawah. Bukaan kaki breastroke seringkali dilakukan dengan bukaan tapak kaki yang tidak efektif. Tolakan air hanya menggunakan hujung jari bukan tapak kaki seperti yang sebaiknya. Akibatnya pergerakan menjadi lambat, banyak terapung, dan mendatangkan kecederaan pada lutut.

Jurulatih berenang bersama pelajar sebagai galakan.

Ketika berenang, PERNAFASAN sangat penting. Bagaimana dengan golongan yang menghidap ASMA? Adakah sama teknik pernafasan mereka dengan golongan normal? Secara amnya memang sama, tetapi untuk golongan yang menghadapi masalah pernafasan seperti asma, autisme dan masalah pertuturan (speech therapy), teknik pernafasan yang betul sangat penting. Teknik menarik nafas dalam (deep breathing) perlu dilakukan dengan betul dan efficient. Jurulatih akan memastikan segala teknik ini dilakukan dengan betul.

Kelas Renang Personal adalah antara program IRENANG yang terbaik dan mendapat ulasan ramai pelajar yang telah menyertainya. Pelajar mencapai kejayaan bukan sahaja dari segi mental tetapi juga fizikal. Mereka berupaya berenang dengan baik walaupun mempuyai tahap kesihatan yang kurang di awal pendaftaran. Nasihat saya, belajarlah berenang semasa masih sihat, jangan tunggu sehingga kecederaan berlaku baru nak belajar. Seringkali BERENANG menjadi pilihan akhir, itupun atas nasihat doktor... HUHUHU..

BELAJAR BERENANG SEKALI JE SEUMUR HIDUP.. LIFE SKILL..

-Puan Sarimah, Pengasas dan Ketua Jurulatih IRenang