Kelebihan Bersenam di Dalam Air

Bersenam di dalam air tidak hanya terhad kepada berenang. Senaman di dalam air sesuai untuk semua golongan; kanak-kanak, remaja, dan juga dewasa. Walaupun tidak pandai berenang, anda masih boleh melakukan aktiviti lain di dalam air seperti berjalan, berlari, dan juga melompat. Senaman di dalam air boleh dilakukan di dalam air paras pinggang dan juga di tempat dalam yang tidak boleh cecah kaki.

Senaman di dalam air sebenarnya merupakan senaman yang lebih selamat jika dibandingkan dengan melakukan senaman di darat. Lebih-lebih lagi kepada warga tua ataupun mereka yang ada masalah dengan keseimbangan badan yang menyebabkan mereka cenderung untuk jatuh apabila melakukan aktiviti. Apabila melakukan aktiviti di darat, potensi untuk jatuh lebih tinggi. Kesannya juga lebih teruk; boleh menyebabkan luka, lutut terhentak, badan terhempas, dan sebagainya. Medium air yang kepadatannya lebih tinggi daripada udara boleh menyokong tubuh badan daripada jatuh.

Kepadatan air yang lebih tinggi daripada udara juga merupakan kelebihan bersenam di dalam air. Tanpa kita sedari, sebenarnya kita bekerja lebih keras di dalam air! Lebih banyak tenaga diperlukan untuk berjalan di dalam air berbanding di atas darat, cuma disebabkan kita berada di dalam air, kita tak perasan badan kita berpeluh. 



Salah seorang pesakit yang mengalami sakit belakang dan juga obese melakukan senaman berjalan melawan arus. Berjalan melawan arus merupakan antara senaman lanjutan daripada berjalan di dalam air. Kami menambahkan tahap kesukaran senaman setelah menilai tahap pesakit dari semasa ke semasa.


Tahap kesukaran senaman juga boleh ditingkatkan tanpa berkompromi dengan aspek keselamatan. Adalah penting untuk kita meningkatkan tahap kesukaran senaman kita setelah badan sudah terbiasa dengan rutin yang dilakukan. Tahap kesukaran senaman boleh ditingkatkan dan dipelbagaikan melalui tahap kedalam air, kelajuan pergerakan di dalam air, dan juga dengan menambahkan rintangan.

Bagi yang mempunyai kecederaan lutut, sakit belakang, masalah kegemukan berlebihan, bersenam di atas darat pasti menyakitkan, kan? Sedangkan berjalan pun sudah sakit, inikan pula nak bersenam. Di dalam air, senaman boleh dilakukan dengan lebih selesa dan kurang menyakitkan kerana terdapat daya apungan air. Daya apungan air adalah daya yang melawan daya graviti. Dalam bahasa mudahnya, daya tarikan graviti menarik kita ke bawah, manakala daya apungan air menolak badan kita ke atas. Kita akan rasa lebih ringan. Jadi, bila berada di dalam air, kita akan rasa kurang sakit kerana tekanan antara sendi berkurangan disebabkan daya apungan tersebut.

Perasaan selesa berada di dalam air pasti membuatkan kita lebih seronok bersenam di dalam air. Gerakan-gerakan yang susah dilakukan di atas darat seperti berlari dan melompat lebih mudah dilakukan di dalam air. Ini membolehkan anda bersenam dengan lebih kerap tanpa rasa sakit, lantas mendapat hasil yang optimum.

Oleh itu, lain kali kalau pergi ke kolam renang, jangan duduk di tepi sahaja kalau pun tak pandai berenang. Masuk dalam air dan bersenamlah!   


Comments

Post a Comment

Kongsikan juga pengalaman anda bersama kami!

Popular posts from this blog

Kejadian hampir dilemaskan pelajar sendiri

Kursus Sijil Pingat Gangsa: Becoming Dayang Senandung...

Susahnya nak terapung!!!