Silent drowning: Kejadian menyelamatkan kanak-kanak yang hampir lemas

Tidak semestinya anda boleh menjadi penyelamat (lifeguard) ketika duduk di kerusi tinggi ataupun ketika wisel tergantung di leher sahaja... Ataupun mesti pakai baju tertulis 'LIFEGUARD'. Semua orang mesti ada rasa bertanggungjawab. Ini kerana setiap orang di dalam kolam renang ada potensi untuk lemas.

Saya sangat risau kalau terlihat budak kecil di kolam renang tanpa pengawasan sesiapa. PENGAWASAN disini bermaksud mata mengawasi setiap perilaku kanak-kanak tersebut, bukan badan mengadap ke kanak-kanak tersebut tetapi MATA MENGADAP SKRIN TELEFON BIMBIT. Tulisan huruf besar kerana saya nak anda fokus pada ayat tu. Ramai. Memang ramai saya perasan macam tu.

Jom saya kongsikan pengalaman saya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki dalam umur 4 tahun di kolam renang kanak-kanak, di belakang ayahnya dan pada masa yang sama adik perempuannya JUGA nyaris lemas hanya beberapa langkah daripada mereka.

Okay. Kejadian ini berlaku ketika saya sedang mengajar renang di sebuah kolam renang kanak-kanak. Saya memang suka mengajar di kolam renang kanak-kanak sebab pelajar cilik saya boleh berlatih dengan selamat disamping mengurangkan rasa takut mereka. Selain itu, saya tak perlulah nak dukung atau julang mereka ke tebing bila di tempat cetek ni.

Jadi, masa tu saya sedang menunggu pelajar saya membuat 'push-and-glide' dari tebing kolam. Saya menunggu di tengah kolam. Sambil menunggu, saya terperasan ada seorang kanak-kanak lelaki beberapa langkah ditepi saya. Seolah-olah sedang melompat, tangannya menggapai keatas. Posisi badannya menegak, tengah berdiri. Saya perhatikan lagi, kedua-dua tangannya melambai di dalam air. Tangan kiri, tangan kanan... Tangan kiri, tangan kanan... Saya nampak mulutnya terbuka seolah-olah nak bercakap; buka tutup, buka tutup... Nasib baik air kolam cukup jernih untuk saya lihat kakinya tak cecah lantai. Masa tu barulah saya perasan Ya Allah! Budak ni nak lemas! Cepat-cepat saya julang budak tu keatas dan barulah ayah dia pusing kebelakang (ayahnya membelakangkan kanak-kanak lelaki itu) dan ambil anaknya dari saya. Dan mungkin dia baru teringat ada lagi seorang anak. Tup tup tak jauh dari tu anak perempuannya pula! Saya nampak dia bergegas kesitu dan menjulang anaknya bawa ketepi kolam. Kedua-duanya selamat.

Apa yang dapat saya simpulkan? SENYAP dan PANTAS. Tak ada percikan air, tak ada laungan meminta tolong. Tiada sesiapa pun perasan mereka nyaris lemas, baik kanak-kanak lelaki mahupun yang perempuan tu. Kecuaian. Kolam renang kanak-kanak tersebut ada dua paras. Paras yang lebih dalam dipisahkan dengan tangga, tapi tiada pagar penghalang. Ditambahkan pula dengan sikap ingin tahu kanak-kanak yang sangat kuat... Anda mesti sentiasa pantau dimana anak-anak anda berada di dalam kolam. Jangan harapkan mereka menjerit meminta tolong, ataupun percikan air yang banyak untuk menyedarkan anda.

Comments

Popular posts from this blog

Kejadian hampir dilemaskan pelajar sendiri

Kursus Sijil Pingat Gangsa: Becoming Dayang Senandung...

Susahnya nak terapung!!!