Fokus ketika bertugas: Pengajaran ketika menjadi penyelamat kelemasan

Seperti yang telah diceritakan dalam entri sebelum ni, saya pernah menjadi penyelamat (lifeguard) di beberapa buah kolam renang. Pastinya ada banyak pengalaman sepanjang bertugas... Tapi kali ini saya nak ceritakan pengalaman saya menyelamatkan seorang wanita yang hampir lemas.

Saya harap kisah ini boleh menjadi tauladan kepada anda semua... Kejadian ini berlaku ketika saya sedang bertugas di sebuah kolam renang bersaiz Olimpik yang tertutup.

Ketua penyelamat dah pesan banyak kali setiap kali masa bertugas jangan main sms, jangan bercakap dalam telefon, jangan main telefon... Jangan membaca, jangan sibuk makan je.

Dulu selalu study sambil jaga kolam... Tapi ini bukan tabiat yang elok. Jangan ikut!

Mata mesti sentiasa fokus pada pengunjung. Tapi, saya ni sebab dah selalu jadi 'lifeguard' dan tak pernah pula berdepan dengan sebarang situasi cemas, ambil sambil lewa sahaja hal tu. Tambahan pula bertugas bersama lagi 2 orang. Rakan sekerja 2 orang di seberang sana dan saya seorang menjaga di sebelah sini sambil duduk di kerusi tinggi. Pelampung penyelamat yang bulat tu saya gantungkan ditepi kerusi.

Saya jaga di bahagian pertengahan antara yang cetek dan dalam. Sambil membalas sms kawan saya. Petang tu tak ramai pun yang berenang ke tempat dalam kecuali seorang wanita yang ulang-alik depan saya. Banyak juga la dari satu hujung ke satu hujung dia teruskan je walaupun saya tengok gerakan kaki dan tangannya tak betul. 

Tengok handphone, tengok kolam. Sampaila satu sms saya hantar pada kawan saya berbunyi begini (ya saya masih ingat lagi...),
"Boleh je main sms sebab ada lagi 2 lifeguard lain.."

Dan sebaik saya hantar je sms tu, angkat kepala tengok kedepan nampak tangan perempuan tu menggapai nak ke atas. Betul-betul depan mata saya!

Berdebarnya tuhan saja yang tahu. Memang menggelabah saya turun dari kerusi tinggi tu dan yang kelakarnya sempat pula campak handphone ketepi kolam sebelum saya terjun bersama pelampung bulat tu. Cuma nampak tangannya jadi saya risau dia tak dapat nak sambut pelampung tu, sebab tu saya terjun. Tapi saya pastikan dia pegang pelampung tu, bukan pegang saya.

Alhamdulillah... Dia tak sempat tersedak air pun. Kakinya tiba-tiba menjadi kejang dan dia panik. Saya sangat bersyukur sebab digerakkan hati untuk tengok kedepan. Ada juga rasa bersalah sebab main sms masa bertugas... Nasib baik berlaku depan mata saya. Kalau di hujung tempat dalam, mesti ambil masa nak kesana.

Tapi... Tahu tak yang lagi 2 penyelamat di seberang kolam tu tak sedar pun apa yang berlaku? Mereka cuma tahu bila dah tamat sesi apabila melihat baju saya basah. Mereka tanya kenapa baju saya basah lencun dan memang tak sedar dan tak dengar pun apa yang berlaku. Memang... Sebab semuanya berlaku terlalu pantas dan senyap! Wanita itu tak ada pun menjerit-jerit minta tolong, percikan air pun tak banyak... Yang nampak cuma tangannya menggapai keatas.

Saya harap cerita ini boleh jadi tauladan pada anda semua. Banyak kali saya perasan di kolam renang, ibu bapa leka main handphone sambil anak dibiarkan bermain-main di dalam kolam. Ya memang ada lifeguard, tapi lifeguard bukan babysitter yang pantau anak anda seorang sahaja.

Nanti saya kongsikan lagi satu pengalaman saya menyelamatkan budak di kolam renang kanak-kanak dalam Siri 2. Ayahnya ada je di dalam kolam tapi tak perasan anaknya dah hampir lemas...

Comments

Popular posts from this blog

Kejadian hampir dilemaskan pelajar sendiri

Kursus Sijil Pingat Gangsa: Becoming Dayang Senandung...

Susahnya nak terapung!!!