Kenangan saya.

KENAPA SAYA JADI JURULATIH RENANG?

Salam sejahtera semua, semoga hari Sabtu ini memberikan kerehatan pada semua disamping keluarga. Hari ini saya ingin berkongsi sesuatu yang mungkin boleh menjadi inspirasi  kepada mereka di luar sana. Untuk mengambil peluang dan meneroka kemahiran yang sememangnya telah sedia ada di dalam diri  sendiri.

Saya ni di besarkan di kampung. Rumah berdekatan dengan sungai.Zaman saya dulu bekalan air paip belum ada lagi, jadi sungai itulah segala-galanya buat kami d kampung. Membasuh,mandi, mencari rezeki dan juga membuang...teruk kan..Sebagai anak kampung sungai memang menjadi tempat lepak saya dan kawan-kawan. Pantang ada masa terluang,saya akan ke sungai menggagau anak ikan,memetik buah-buah ceri di tebing sungai atau main perang-perang dengan tanah liat yang di gali dari tebing sungai. Soal mandi berjam-jam di sungai tak usah kira lah,bukan setakat memongkah batu mengempang sungai, membuat berbagai-bagai aksi terjunan dari tepian tinggi,itu perkara biasa.

Oleh kerana kehidupan saya yang banyak berkisar tentang air itulah yang membuatkan suasana itu begitu selesa dengan saya, di tambah pula dengan kegemaran saya yang sering mengikut arwah abah menjala ikan di sungai dan di lombong. Saya dah redah seluruh kawasan Batu Caves dan sepanjang Sg Tua tu...

Pelbagai pengalaman telah saya tempuhi dan lalui tetapi yang paling saya ingati hingga ke saat ini ialah ketika saya hampir lemas di dalam lombong.Ketika itu saya mengikuti arwah abah pergi menjala ikan. Arwah mengambil laluan di tepi sebuah lombong yang airnya tak begitu dalam. Arwah abah berjalan di depan, di ikuti dengan adik dan saya yang akhir. Kami meniti sebuah kayu yang berada di dalam air. Kedua-dua mereka sudah hampir ke tebing tapi  kayu yang saya pijak tiba-tiba patah dan saya  tenggelam hingga ke paras leher.Nasib baik di saat itu juga arwah abah menoleh ke belakang dan nampak saya terkapai-kapai. lantas saya di tarik ke tebing.Walaupun di bayangi oleh kejadian itu, saya tetap juga mengikut arwah abah mencari ikan di lombong.

Setelah dewasa saya tetap juga gemar pada aktiviti air.Saya suka ke pantai dan mula mengambil lesen PADI untuk menyelam di dasar laut. Saya juga belajar berenang dengan cara yang lebih baik dan banyak menimba pengalaman dan ilmu dengan beberapa orang jurulatih.Saya menyambung pelajaran di bidang Sains Sukan agar dapat mengaplikasikan sukan air ini dengan cara yang lebih saintifik.Setelah memperolehi lesen Lifeguard dan seterusnya ke peringkat Jurulatih, saya berkerja di beberapa tempat sabagai jurulatih renang selama beberapa tahun sebelum membuka perniagaan sendiri.

InshALLAH, saya akan kongsikan segala ilmu kurniaan NYA yang sedikit ini untuk kebaikan umat manusia. Saya bukan atlit, saya seorang Julatih Renang.Jumpa lagi.


Comments

Popular posts from this blog

Kejadian hampir dilemaskan pelajar sendiri

Kursus Sijil Pingat Gangsa: Becoming Dayang Senandung...

Susahnya nak terapung!!!